WILAYAH - TIMUR > BERITA

IPNas 2025: Sultan Pahang Mahu Semangat Harmoni, Perpaduan Terus Dipelihara

26/02/2026 03:29 PM

RAUB, 26 Feb (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan semangat perpaduan merupakan satu aset dan khazanah negeri yang amat bernilai serta perlu terus dipupuk, termasuk dalam kalangan generasi akan datang.

Al-Sultan Abdullah bertitah kejayaan Pahang mencatat skor tertinggi dalam Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 merupakan satu pujian kepada seluruh rakyat serta kerajaan negeri ini yang berjaya mengharmonikan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Ini seharusnya menjadi satu kebanggaan kepada seluruh rakyat Pahang. Saya harap semangat harmoni dan perpaduan ini dapat diteruskan dan kekal buat selama-lamanya.

“Seri perpaduan ini adalah satu aset khazanah kita. Bersama-samalah kita semua menerapi semangat perpaduan ini dan mendidik generasi akan datang supaya terus menghargainya,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang semalam. 

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau menjunjung kasih dan menyambut baik titah Sultan Pahang atas kejayaan Pahang dinobatkan sebagai negeri mencatat skor tertinggi IPNas 2025. 

“Pengiktirafan ini merupakan manifestasi jelas komitmen berterusan kerajaan negeri dan seluruh rakyat Pahang dalam memelihara keharmonian, memperkukuh integrasi sosial serta menyuburkan semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan