KLUANG, 28 Feb (Bernama) -- Lebih 800 anggota bomba bersiap siaga sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina dan sambutan Aidilfitri tahun ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kejadian kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Siti Rohani Nadir berkata kesiapsiagaan itu merangkumi 34 balai bomba melibatkan empat kawasan zon, iaitu Zon 1 sekitar Johor Bahru, Pontian dan Kulai; Zon 2 (Kota Tinggi dan Mersing), Zon 3 (Batu Pahat dan Kluang) serta Zon 4 (Muar, Segamat dan Tangkak).
Beliau berkata anggota bertugas terlibat akan berada dalam ‘mood stanby’ di balai masing-masing bagi menghadapi sebarang kemungkinan sama ada kejadian kebakaran atau kecemasan lain membabitkan kediaman atau premis tumpuan.
“Bagi musim perayaan ini, JBPM Johor juga akan memberikan fokus kepada kawasan tumpuan ramai seperti kompleks beli-belah, pasar raya, kedai-kedai dan juga hotel-hotel dengan Pemeriksaan Keselamatan Kebakaran (Menghapus Bahaya Kebakaran - MBK) dilaksanakan.
“Bagi Pemeriksaan MBK ini, JBPM Johor telah melakukan pemeriksaan terhadap 31 premis tumpuan, yang bermula pada 19 Feb hingga 6 Apr depan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Perasmian Kempen Kesedaran dan Keselamatan Awam Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri 2026 Peringkat Negeri Johor, yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi.
Siti Rohani berkata pihaknya menyasarkan untuk memeriksa 200 premis tumpuan orang ramai sepanjang tempoh berkenaan, dan setakat hari ini pihaknya telah mengeluarkan empat notis MBK kepada premis yang gagal mematuhinya.
Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan adalah penyimpanan barang yang meningkatkan risiko kebakaran, laluan keluar keselamatan yang terhalang dan peralatan keselamatan kebakaran tidak diselenggara serta tidak berfungsi.
Terdahulu, Siti Rohani berkata antara pengisian utama program hari ini adalah sesi penerangan oleh pegawai JBPM, demonstrasi penggunaan alat pemadam api selain tip keselamatan yang mudah difahami dan boleh diamalkan orang ramai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial