WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mayat Dikerat: Warga Emas Didakwa Bunuh Wanita

27/02/2026 03:13 PM

KOTA KINABALU, 27 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita dengan anggota badannya ditemukan di Sepanggar di sini, awal bulan ini.

Piluta Samad, 71, mengaku faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki yang bekerja sendiri itu didakwa membunuh Hamidah Husin@Lisa, 44, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar di sini antara 6 hingga 7 malam 11 Feb.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan dan Majistret mengarahkan lelaki itu ditahan di Penjara Kepayan. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 April bagi laporan penuh kimia, forensik, patologi dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Katamjit Singh manakala Piluta tidak diwakili peguam.

Pada 12 Feb, beberapa anggota wanita ditemukan dibuang di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Indah Permai di sini. 

Polis seterusnya menahan seorang lelaki warga emas dan tiga anaknya bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan