SUKAN > BERITA

Tiada Keputusan Segera: Panel CAS Ambil Masa Teliti Rayuan FAM

27/02/2026 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) secara rasmi memasuki fasa perbincangan susulan rayuan dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan induk itu serta tujuh pemain kebangsaan.

Ketika peminat Harimau Malaya terus berdebar menantikan keputusan susulan prosiding di Lausanne, Switzerland semalam, pegawai komunikasi CAS Vanessa Tracey menjelaskan keputusan operasi (tanpa asas) bagi kes berprofil tinggi itu dijangka diumumkan minggu depan.

“Memandangkan kes ini berprofil tinggi, satu kenyataan media akan dikeluarkan. Saya boleh memaklumkan kepada anda sebaik sahaja ia diterbitkan.

“Selepas keputusan awal diberikan, satu keputusan penuh akan disediakan, yang akan dikeluarkan kemudian kepada pihak-pihak terlibat. Sekiranya pihak-pihak tidak memohon kerahsiaan, ia akan tersedia di laman sesawang CAS,” katanya kepada Bernama.

Semakan Bernama di laman sesawang rasmi CAS setakat hari ini mengesahkan tribunal itu masih belum menerbitkan sebarang keputusan susulan pendengaran yang diadakan di Switzerland.

Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman ketika dihubungi Bernama berkata secara ringkas bahawa satu kenyataan akan dikeluarkan lewat hari ini berhubung prosiding berkenaan.

Pada Disember lepas, FAM mengesahkan telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman FIFA terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Sebelum itu pada September, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain, iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit hingga membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 di sini pada Jun lepas.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Harapan untuk melihat hukuman itu diringankan tidak kesampaian selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 Nov lepas menolak rayuan FAM dan kesemua pemain, sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 FDC.

Bagaimanapun, pada 27 Jan lepas, FAM memaklumkan CAS membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu yang dikemukakan oleh pemain terbabit, menyaksikan mereka dibenar meneruskan karier dan menyertai aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan dibuat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan