WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Sedia Sokong Keperluan AKPS - Saifuddin

26/02/2026 09:50 PM

PELABUHAN KLANG, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan bersedia menyokong keperluan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) termasuk dari segi persenjataan dan kelengkapan keselamatan bagi memastikan agensi itu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

‎‎Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagai agensi baharu, AKPS mempunyai ruang untuk merangka gerak kerja selaras dengan keperluan semasa dalam usaha memperkukuh kawalan keselamatan di 122 pintu masuk negara.

“Jika ia bertujuan meningkatkan tahap keselamatan seluruh anggota AKPS, misalnya dengan penggunaan senjata atau kelengkapan lain, saya serahkan sepenuhnya kepada kepimpinan AKPS, iaitu Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain untuk menyusun atur.

“Peranan kami di kementerian, saya dan Ketua Setiausaha, adalah memberikan sokongan supaya agensi ini dapat menjalankan tugas dengan berkesan, sambil memastikan keselamatan anggota terjamin,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Ops Khas Pagar Laut 2026 oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Pelancaran operasi khas itu berlangsung di Kapal Maritim Tun Fatimah, Pusat Hidrografi Nasional, Lebuh Sungai Chandong, Bandar Armada Putra di sini, hari ini. 

‎‎Sebelum ini, Mohd Shuhaily dilaporkan berkata AKPS sedang meneliti keperluan pembekalan senjata api dan jaket kalis peluru untuk pegawainya bagi menjamin keselamatan semasa bertugas.

‎‎Semalam, sebuah Proton X70 dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin Mohd Nasir dilaporkan ditembak kira-kira 5.40 pagi di susur masuk berhampiran Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, lebih kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

‎‎Mohd Nasaruddin yang dalam perjalanan menunaikan solat Subuh dilaporkan terselamat.

‎-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan