KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Lebih separuh daripada 16 jurulatih tempatan yang diluluskan untuk dilantik oleh Olahraga Malaysia (MA) terdiri daripada bekas atlet negara, kata Setiausaha Agung MA, Nurhayati Karim.
Beliau berkata keputusan itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula barisan kejurulatihan kebangsaan bagi memperkemas sistem latihan dan memperkukuh persiapan atlet menghadapi kejohanan utama akan datang.
“Bagi barisan kejurulatihan, kami telah mencapai persetujuan untuk melantik 16 jurulatih tempatan. Terdapat wajah baharu dan ada yang disambung semula. Ramai bekas atlet juga ditawarkan sebagai jurulatih di bawah program ini. Lebih separuh adalah bekas atlet.
“Kami merancang untuk melantik 20 jurulatih, tetapi kelulusan hanya diberikan bagi 19 jawatan, termasuk tiga slot untuk jurulatih luar negara,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Katanya tiga jurulatih luar negara itu disasarkan untuk memperkasakan acara balingan, larian jarak sederhana dan jauh serta pecut, yang dikenal pasti sebagai disiplin utama untuk diperkukuh.
“Kami menyasarkan calon dari India, Jerman, Afrika Selatan dan Botswana. Pemilihan terakhir masih dalam proses,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula ini, MA akan melantik ketua jurulatih bagi setiap disiplin utama iaitu pecut, lompatan, balingan serta larian jarak sederhana dan jauh, bagi memastikan sistem latihan lebih tersusun dan persiapan atlet lebih mantap.
Beliau berkata surat lantikan akan diedarkan dalam masa terdekat, dengan semua urusan pentadbiran dan dokumentasi sedang diperincikan. Pengumuman barisan penuh dijangka dilakukan minggu hadapan.
Nurhayati berkata buat masa ini, MA tidak merancang untuk melantik pengarah teknikal kerana tumpuan diberikan kepada pengukuhan struktur kejurulatihan sedia ada dan pelaksanaan program latihan secara lebih tersusun.
Beliau berkata program latihan dijangka bermula 1 Mac ini, dengan sasaran penyertaan atlet negara dalam kira-kira 20 kejohanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial