WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Seramai 5,744 Sukarelawan JKM, 976 Anggota PST Siap Siaga Banjir

21/02/2026 02:17 PM

KUCHING, 21 Feb (Bernama) -- Seramai 5,744 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 976 anggota pasukan sokongan psokologi (PST) dalam keadaan siap siaga susulan cuaca tidak menentu akibat Monsun Timur Laut yang boleh mengakibatkan terutamanya risiko banjir.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata fokus utama ketika ini ialah memastikan kesiapsiagaan pendaftaran mangsa secara dalam talian, agihan bekalan keperluan dan makanan, aspek kesihatan dan kebersihan serta keselamatan dan aktiviti di pusat pemindahan di seluruh negara. 

“Ini antara persediaan yang telah kita lakukan bukan sahaja untuk pengurusan bencana, malah bagi memberi sokongan kesihatan mental kepada penduduk yang terjejas.

“Bagi pendaftaran bantuan, sekiranya terdapat kawasan yang tidak mempunyai capaian internet, pejabat daerah akan sentiasa membantu mereka mendapatkan bantuan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Mindness Tour Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan penyerahan zakat serta bakul makanan kepada golongan asnaf Zon Bako di Dewan Serbaguna Kampung Selabat, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai banjir di Sabah, Nancy berkata kementeriannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan kejadian banjir yang berlaku di beberapa kawasan akibat hujan berterusan di negeri itu. 

Beliau berkata fokus kini ialah persediaan di pangkalan hadapan, terutama di kawasan yang jauh dari bandar.

“Setakat ini, stok barangan di pangkalan hadapan mencukupi kerana pelbagai persediaan bantuan telah siap disediakan,” katanya sambil menambah kementeriannya bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam memastikan pengurusan bencana berjalan lancar.

Beliau berkata seramai 4,785 kakitangan JKM telah gerakkan ke lokasi terjejas di negeri itu, selain memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) mempunyai sekurang-kurangnya seorang kaunselor bagi membantu penduduk, terutama kanak-kanak yang terkesan.

Bernama hari ini melaporkan jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 3,685 orang daripada 1,593 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 406 orang daripada 124 keluarga petang semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 18 pusat pemindahan sementara (PPS) kini beroperasi di tiga daerah terjejas iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan, manakala 47 kampung terjejas iaitu 30 di Pitas, 12 di Kota Marudu dan lima di Paitan.

Ketiga-tiga daerah itu dilanda banjir pada 6 pagi semalam susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lepas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan