KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan penduduk di Sabah yang kini berdepan ujian banjir ketika umat Islam menyambut Ramadan.
Beliau berkata sehubungan itu, semua agensi kerajaan Persekutuan dan negeri telah digerakkan secara menyeluruh bagi memastikan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan.
“Keutamaan kita adalah keselamatan rakyat, kebajikan mangsa serta pemulihan kawasan terjejas secepat mungkin... saya mengingatkan semua yang berada di kawasan terlibat agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Jumlah mangsa banjir di Sabah juga terus meningkat kepada 3,685 orang daripada 1,593 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 406 orang daripada 124 keluarga pada petang semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 18 pusat pemindahan sementara kini beroperasi di tiga daerah terjejas iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan.
Sebanyak 47 kampung turut terjejas iaitu 30 di Pitas, 12 di Kota Marudu serta lima di Paitan selepas banjir melanda ketiga-tiga daerah sejak 6 pagi semalam susulan hujan berterusan beberapa hari lepas.
Jabatan Meteorologi Malaysia pula meramalkan beberapa kawasan di pedalaman Sabah dijangka mengalami hujan pada sebelah pagi manakala ribut petir berpotensi berlaku pada waktu petang dan malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial