WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mahkamah Rayuan Kurangkan Ganti Rugi KJ Kepada RM830,000

19/02/2026 06:18 PM

PUTRAJAYA, 19 Feb (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi yang diberikan kepada bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin daripada RM2.5 juta kepada RM830,000 dalam saman fitnahnya terhadap Mohd Rasyiq Mohd Alwi berhubung hantaran media sosial berkaitan vaksin COVID-19.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan bersidang bersama Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahril Mohd Salleh mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung liabiliti, namun meminda jumlah ganti rugi.

Mahkamah yang membenarkan rayuan Mohd Rasyiq mengurangkan ganti rugi am daripada RM2 juta kepada RM500,000 serta ganti rugi teladan daripada RM250,000 kepada RM80,000, manakala ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 dikekalkan.

Pada 25 Jan 2022, Khairy, 50, atau lebih dikenali sebagai KJ, memfailkan saman terhadap Mohd Rasyiq, yang juga dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, atas dakwaan membuat beberapa kenyataan fitnah termasuk menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Okt 2021 serta pada 6 dan 10 Jan 2022.

Menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Mohamed Zaini berkata fitnah yang dilakukan perayu (Mohd Rasyiq) bukan sahaja mencemarkan reputasi bekas Ahli Parlimen Rembau itu, malah berpotensi menjejaskan kepentingan awam kerana hantaran berkenaan boleh mempengaruhi orang ramai supaya tidak mengambil vaksin.

“Perayu yang menampilkan dirinya sebagai pendakwah agama tertakluk kepada standard tanggungjawab dan tahap kewaspadaan yang lebih tinggi apabila membuat kenyataan kepada umum.

“Masyarakat meletakkan kepercayaan, rasa hormat dan autoriti moral yang tinggi terhadap individu yang mempunyai kedudukan agama. Pengikutnya secara munasabah cenderung menerima kenyataan pendakwah sebagai benar dan berteraskan moral,” katanya.

Beliau berkata Mohd Rasyiq, 46, mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk mengesahkan ketepatan kenyataannya sebelum menyebarkannya. Dengan memilih untuk menerbitkan dakwaan tidak disahkan, palsu dan berunsur fitnah terhadap Khairy, beliau menyalahgunakan kedudukan autoriti moral serta mengeksploitasi kepercayaan masyarakat terhadap tokoh agama.

Katanya terdapat lapan penerbitan berasingan dan Khairy berhak menuntut ganti rugi bagi setiap satu daripadanya.

"Bagaimanapun, ganti rugi am dalam kes fitnah bertujuan memberi pampasan, bukan untuk memperkayakan. Walaupun tiada jumlah tetap bagi ganti rugi dalam kes fitnah, jumlah itu mestilah berkadar dan selaras dengan trend kehakiman semasa.

“Terdapat suatu tempoh apabila mahkamah menganugerahkan jutaan ringgit dalam kes fitnah yang berjaya. Era itu sudah berakhir dan kita tidak berhasrat untuk melihatnya berulang,” katanya.

Mahkamah turut mengambil kira sikap perayu yang disifatkan degil, manakala permohonan maaf yang dikemukakan didapati seolah-olah bersifat sinis. Atas alasan itu, ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 dikekalkan.

Pada April tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Mohd Rasyiq membayar RM2.5 juta kepada Khairy. Mohd Rasyiq kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung jumlah ganti rugi.

Pada prosiding hari ini, peguam Lejerod Limpuong mewakili Mohd Rasyiq manakala peguam Abdul Rashid Ismail bertindak bagi pihak Khairy.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan