WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis N.Sembilan Tumpas Sindiket Syabu RM1.56 Juta, Dua Lelaki Tempatan Ditahan

19/02/2026 03:19 PM

SEREMBAN, 19 Feb (Bernama) -- Polis Negeri Sembilan merampas 30 bungkusan teh Cina disyaki mengandungi dadah jenis syabu bernilai keseluruhan RM1.56 juta susulan penahanan dua lelaki tempatan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Kilometer 236.9 pada 12 Feb lepas.

Ketua Polis Negeri Datuk Alzafny Ahmad berkata operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau serta Unit Rondaan Bermotosikal (EMPV) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman itu membawa kepada penahanan dua lelaki berusia lingkungan 30 tahun yang bekerja sebagai mekanik dan nelayan.

Beliau berkata kedua-dua suspek berasal dari Batu Pahat, Johor, ditahan bersama bungkusan seberat anggaran 30,601 gram yang disimpan di dalam but kereta.

“Suspek adalah rakan karib. Polis menemukan ketulan kristal di dalam bungkusan tersebut disyaki syabu. Hasil siasatan dan risikan mendapati dadah berkenaan dipercayai diambil di Puchong, Selangor, sebelum dibawa ke selatan untuk dipasarkan.

“Berdasarkan jumlah berat dadah dirampas, dianggarkan 30,000 individu dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah. Siasatan lanjut mendapati kegiatan ini aktif sejak tahun lepas dan kumpulan ini menyasarkan pasaran negeri di selatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Alzafny berkata hasil semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai dua dan empat rekod kesalahan dadah dan jenayah, selain mereka didapati positif methamphetamine.

Beliau berkata tempoh reman terhadap suspek disambung empat hari lagi bermula hari ini, selepas direman selama tujuh hari bermula 13 Feb lepas, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Alzafny berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri merampas 115 tan Halogenated Polycyclic Aromatic Hydrocarbons (HPA) bernilai RM577,000 dipercayai mengandungi unsur pencemaran alam sekitar di sebuah premis perindustrian di Senawang pada 16 Feb.

Alzafny berkata menerusi Operasi Hazard sekitar 3 petang, pihaknya turut menyita tiga mesin pelebur bernilai hampir RM1.2 juta, serta menahan 12 warga asing termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata pemilik premis tersebut merupakan warga tempatan berusia 65 tahun manakala warga asing terdiri daripada lapan lelaki warga Myanmar, tiga lelaki (Bangladesh) dan seorang wanita warga China dipercayai berkerja dan tinggal di premis berkenaan.

“Apabila operasi dijalankan, dapatan diperoleh lebih kepada penyalahgunaan memproses kilang sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar iaitu bahan dikenal pasti adalah jenis HPA iaitu bahan plastik yang mempunyai unsur pencemaran alam sekitar.

“Pemilik premis tidak hadir semasa operasi dijalankan, JAS akan memanggil pemilik tersebut untuk siasatan lanjut, sekiranya gagal waran akan dipohon terhadap individu itu. Kilang ini beroperasi sejak November 2018 namun tindakan ini diambil berdasarkan risikan serta aduan orang awam diterima baru-baru ini,” katanya.

Alzafny berkata mengikut permit, kilang terbabit hanya dibenarkan mengeluarkan barangan plastik bagaimanapun hasil operasi mendapati berlaku pelanggaran permit berkenaan.

Beliau berkata polis akan menyiasat penglibatan warga asing di kilang tersebut, termasuk kemungkinan wujud aktiviti melindungi atau menggajikan mereka tanpa permit yang sah, manakala JAS pula menyiasat perkara berkenaan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluent Perindustrian) 2009.

JAS turut bertindak mengeluarkan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan mengarahkan premis menghentikan operasi serta-merta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan