WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kehadiran Semula Pemain Warisan JDT Bawa Impak - Munoz

29/01/2026 11:28 PM

ISKANDAR PUTERI, 29 Jan (Bernama) -- Kehadiran semula pemain warisan Johor Darul Ta’zim (JDT) Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Havel, memberi impak positif apabila pasukan itu menewaskan Shan United FC 3-0 dalam perlawanan Kumpulan B Piala Kelab ASEAN 2025/2026, di sini hari ini.

“Bukan mudah bagi pemain yang lama tidak bermain, tetapi saya fikir mereka menunjukkan prestasi yang baik,” kata jurulatih JDT Xisco Munoz selepas pemain berkenaan dibenarkan beraksi oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Beliau melahirkan rasa puas hati terhadap prestasi pemain-pemainnya yang bekerja keras untuk memastikan kemenangan, meskipun menghadapi kesukaran memecahkan kebuntuan pada separuh masa pertama.

“Keputusan ini positif walaupun 30 minit pertama agak sukar, tetapi yang paling penting, kami memperoleh tiga mata,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Munoz turut memuji Bergson Gustavo Silvera Da Silva dan Oscar Pasero Arribas yang memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol, sekali gus membantu JDT kekal berpeluang ke separuh akhir.

Mengulas tentang perlawanan seterusnya, Munoz berkata JDT kini menumpukan perhatian kepada pertembungan menentang Nam Dinh FC pada aksi terakhir kumpulan pada 5 Feb di Stadium Thien Truong, Vietnam. 

Beliau berkata barisan kejurulatihan akan membuat perancangan rapi bagi mengurus kecergasan pemain, memandangkan JDT juga akan beraksi dalam Liga Super serta Piala Juara-Juara Asia Elit (ACLE) awal bulan depan.

Sementara itu, jurulatih Shan United FC, Han Win Aung, terpaksa menerima kekalahan keempat pasukannya, sekali gus mengekalkan kedudukan mereka di tangga tercorot kumpulan. 

Bagaimanapun, beliau memuji usaha pemainnya mengekang JDT pada separuh masa pertama tanpa sebarang jaringan.

 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan