WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KKR Pertimbang Akreditasi Khas Kontraktor Tingkat Kualiti Turapan Jalan

27/01/2026 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mempertimbangkan cadangan mengenakan akreditasi khas terhadap kontraktor bagi memantau dan meningkatkan kualiti kerja turapan jalan supaya pembinaan lebih berkualiti, tahan lasak dan memenuhi jangka hayat.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pada masa ini, projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa dikawal selia pasukan projek yang kompeten  selaras spesifikasi dan piawaian ditetapkan, selain kontraktor yang dilantik bertanggungjawab memastikan kerja dilaksanakan mengikut keperluan kualiti.

Beliau berkata setakat ini, tindakan termasuk lucut hak bon, potongan bayaran, pelarasan bayaran balik dan senarai hitam daripada tender kerajaan dikenakan kepada kontraktor yang gagal memenuhi piawaian.

“Namun, KKR tiada halangan dan bersedia mempertimbangkan cadangan akreditasi khas bagi memastikan kerja turapan lebih berkualiti dan tahan lama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai kesediaan kerajaan mempertimbangkan akreditasi khas kontraktor dan usaha penggunaan teknologi canggih bagi meningkatkan kualiti dan jangka hayat turapan jalan serta menampung beban trafik berat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan