WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerjaya Pemandu Pelancong Diarusperdanakan Dalam Ekosistem TVET Negara - Chiew

27/01/2026 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Kerjaya pemandu pelancong telah diarusperdanakan melalui pengiktirafan sebagai sebahagian daripada ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man.

Beliau berkata pemandu pelancong diwajibkan mengikuti kursus serta lulus ujian kecekapan yang dilaksanakan oleh institusi latihan pelancongan (ILP) yang diiktiraf Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum dilesenkan.

“Sebagai syarat pembaharuan lesen pula, pemandu pelancong perlu mengikuti kursus Continuing Tourism Related Education atau program upskilling (menambah kemahiran baharu) dan reskilling (menambah kemahiran sedia ada) bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran, termasuk penguasaan bahasa asing, sekali gus memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) sama ada kementerian bercadang mengangkat dan mengiktiraf Program Kursus Pemandu Pelancong sebagai sebahagian daripada ekosistem TVET negara termasuk dari segi pensijilan, pembiayaan, kebolehpasaran dan laluan kerjaya jangka panjang, sebaris dengan program kemahiran lain, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Chiew berkata MOTAC juga telah bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi mengiktiraf kursus pemandu pelancong melalui pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3.

Pensijilan itu katanya, melibatkan kursus Asas Pemandu Pelancong Bandar serta kursus Regional Specific Tourist Guide (RSTG) Sabah dan Sarawak yang masing-masing ditawarkan pada Tahap 3 SKM, selain kursus Pemandu Pelancong Berkemahiran Alam Semula Jadi Setempat pada Tahap 2 SKM.

“Pengiktirafan ini meletakkan bidang pemandu pelancong dalam ekosistem TVET negara, khususnya dari segi pensijilan dan kebolehpasaran, di samping memperkukuh tahap profesionalisme pemandu pelancong negara,” katanya.

Menjawab soalan tambahan berhubung tahap kesedaran awam dan isu penguatkuasaan terhadap pemandu pelancong tidak berdaftar, Chiew berkata setakat ini, terdapat 47 institusi latihan pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC di seluruh negara.

Beliau berkata kementerian sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu.

“MOTAC akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482], khususnya peruntukan berkaitan pelesenan pemandu pelancong,” katanya.

Chiew berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang, khususnya pemandu pelancong tidak berdaftar, kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keyakinan pelancong serta imej industri pelancongan negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan