WILAYAH - TENGAH > BERITA

Kemasukan Awal Tahun Satu Wajar, Laluan Khas Pelajar Bersedia

26/01/2026 11:39 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Mengimbau kenangan 13 tahun lepas, Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen masih mengingati perasaan bercampur baur antara bimbang dan yakin apabila melihat anaknya, Amerrul Idzham memulakan pembelajaran Tahap Satu pada usia enam tahun.

Sebagai bapa, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu mengakui keputusan menghantar anak ke sekolah lebih awal bukan perkara mudah kerana anaknya masih kecil, malah kebimbangan mengenai keupayaannya menyesuaikan diri sentiasa bermain di fikiran.

“Terus terang, memang ada rasa bimbang pada awalnya. Anak masih kecil dan kita sebagai ibu bapa tentu risau sama ada dia boleh menyesuaikan diri atau tidak. Namun pada masa sama, saya dan isteri yakin keputusan itu dibuat secara berhati-hati,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamed Sulaiman, 52, berkata keputusan itu bermula daripada cadangan guru tadika yang mengenali anaknya dengan baik, sebelum disusuli penilaian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kelulusan rasmi setelah melalui proses ujian serta temu duga kelayakan memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun.

“Proses itu memberi keyakinan bahawa anak saya memang bersedia. Sudah tentu ada rasa bangga, tetapi lebih kepada syukur dan tanggungjawab.

“Bangga melihat keyakinan anak melangkah ke alam sekolah rendah lebih awal dan pada masa sama sedar bahawa peranan ibu bapa untuk memantau dan menyokong menjadi lebih penting,” katanya.

Mohamed Sulaiman berkata kesan positif kemasukan awal itu dapat dilihat sejak peringkat sekolah rendah, khususnya dalam membentuk minat terhadap pembelajaran dan keyakinan diri anaknya yang kini berusia 19 tahun.

Katanya hasil daripada perkembangan tersebut, anak keempat daripada lima beradik itu berjaya melanjutkan pengajian sebagai pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh ketika berusia 18 tahun, pada 2025.

“Ini sekali gus menunjukkan bahawa anak saya dapat menjimatkan tempoh pembelajaran kira-kira setahun lebih awal, hasil daripada pendedahan kepada pendidikan awal,” katanya.

Mengulas langkah kerajaan melaksanakan kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun secara sukarela mulai tahun hadapan, beliau berpendapat pendekatan itu wajar diteruskan sebagai laluan khas bagi kanak-kanak yang menunjukkan kebolehan dan kesiapsiagaan awal dalam pencapaian akademik termasuk mengambil kira aspek kematangan emosi dan sosial.

“Umur persekolahan masih perlu dijadikan garis panduan umum tetapi laluan khas ini perlu jelas dan terkawal, bermula dengan cadangan guru, persetujuan ibu bapa, penilaian JPN dan kelulusan bertulis,” katanya.

Beliau turut menekankan peranan JPN dalam memastikan proses itu dilaksanakan secara adil dan berintegriti, sekali gus mengekalkan keseimbangan antara dasar pendidikan dan keperluan individu murid.

“Ia bukan soal siapa lebih cepat tetapi soal memberi peluang kepada anak-anak yang benar-benar bersedia untuk berkembang mengikut kemampuan mereka,” katanya.

Pada 20 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa bermula tahun depan, kanak-kanak berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran Tahun Satu, namun ia tidak diwajibkan dan bergantung kepada ibu bapa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan