WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kemenangan BN Di Kinabatangan, Lamag Cerminkan Keyakinan Rakyat - Ahmad Zahid

25/01/2026 12:17 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan gabungan politik itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kesinambungan kepimpinan serta kestabilan yang diharapkan bagi kawasan berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata mandat yang diberikan oleh rakyat merupakan amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab bagi meneruskan legasi khidmat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menjadikan Kinabatangan dan Lamag sebagai keutamaan perjuangannya.

“Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera Barisan Nasional serta rakan-rakan dalam Kerajaan Negeri Sabah yang telah bersama-sama memastikan kemenangan ini,” katanya.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pula berkata kemenangan calon Kerajaan Perpaduan itu mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan yang stabil, berintegriti dan bertanggungjawab.

Beliau berkata kejayaan itu juga melambangkan kesatuan kepimpinan, kematangan kerjasama politik serta keyakinan rakyat terhadap kestabilan dan hala tuju pembangunan di Sabah.

“Apabila pemimpin bersatu, rakyat akan memberikan kepercayaan... buat (Mohd Kurniawan) Naim (Moktar) dan MIHA (Mohd Ismail Ayob), amanah yang diberikan ini perlu digalas dengan penuh tanggungjawab dan iltizam yang tinggi, demi memastikan Kinabatangan dan Lamag terus dibela, diperkasa dan dimajukan secara berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Bagi Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kemenangan calon BN itu membuktikan keberkesanan gerak kerja jentera parti yang digerakkan secara menyeluruh dan bersepadu.

Beliau berkata komitmen jentera BN yang bekerja siang dan malam serta kepimpinan parti yang diterajui Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan pada PRK berkenaan.

“Tahniah buat Mohd Kurniawan Naim Moktar yang dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan Mohd Ismail Ayob yang secara rasmi dipilih sebagai ADUN Lamag… selamat berkhidmat, memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab dan meneruskan legasi kepimpinan hebat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Keputusan PRK bagi Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim berjaya mempertahankan kerusi yang disandang ayahnya sejak 1999 dengan meraih 14,214 majoriti undi menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Mohd Ismail pula berjaya mengekalkan kerusi DUN Lamag untuk BN apabila memperoleh majoriti undi 5,681 menewaskan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian Bung Moktar, 66, pada 5 Dis lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan