WILAYAH - SELATAN > BERITA

Polis Terima Laporan Dakwaan Kanak-kanak Lelaki Dianiaya Di Sebuah Taska

24/01/2026 05:48 PM

SEREMBAN, 24 Jan (Bernama) -- Polis menerima laporan semalam berhubung dakwaan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipercayai berlaku di sebuah taska di Seremban 2 Heights, di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia lingkungan 30-an pada 11.31 malam selepas dia menerima maklumat serta gambar melalui media sosial yang menunjukkan kesan kemerahan di pipi kiri anaknya.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Jun tahun lepas ketika mangsa berada di  taska berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, polis mengambil keterangan empat saksi yang merupakan pengasuh dan pengurus taska berkenaan. Kita sedang meneruskan siasatan bagi mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian itu sehingga boleh mengganggu siasatan.

Terdahulu, perkongsian seorang wanita tentang kejadian yang menimpa anak lelakinya itu tular dalam media sosial.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan