KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berjalan lancar setakat 12 tengah hari ini, kata ​Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Ravi Duraisamy.
Beliau berkata menerusi pemantauan berterusan di lapangan yang dijalankan polis, menunjukkan tahap keselamatan pada kesemua 36 pusat pengundian berada pada tahap yang baik.
"Setakat ini, proses pengundian berjalan lancar … tiada sebarang provokasi dikesan dan keadaan di Kinabatangan adalah tenang tanpa sebarang masalah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Parlimen Kinabatangan memiliki sebanyak 48,282 pengundi biasa yang layak mengundi pada hari ini, manakala DUN Lamag mempunyai 13,515 pengundi.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial