WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IMF Tingkat Unjuran Pertumbuhan KDNK Sebenar Malaysia Kepada 4.3 Peratus Untuk 2026, 2027

21/01/2026 12:15 AM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia kepada 4.3 peratus untuk 2026 dan 2027, mewakili semakan menaik sebanyak 0.3 mata peratusan.

Menurut Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) Jan 2026 kemas kini yang dikeluarkan hari ini “Ekonomi Global: Stabil di tengah-tengah Daya Mencapah”, IMF turut menganggarkan pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia sebanyak 5.1 peratus pada 2024 dan 4.6 peratus untuk 2025. 

IMF sebelum ini menetapkan KDNK 2025 Malaysia pada 4.5 peratus dan untuk 2026 ialah sebanyak 4.0 peratus.

Laporan itu menyebut pertumbuhan global diunjurkan kekal berdaya tahan pada 3.3 peratus untuk 2026 dan 3.2 peratus pada 2027: kadar ini adalah serupa dengan anggaran 3.3 peratus bagi 2025.

Unjuran ini menandakan semakan kecil menaik untuk 2026 dan tiada perubahan menjelang 2027 berbanding dalam WEO 2025 Oktober.

“Prestasi mantap di permukaan ini terhasil daripada pengimbangan daya mencapah.

“Tekanan akibat peralihan dasar perdagangan telah diimbangi oleh lonjakan daripada peningkatan pelaburan yang berkaitan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), lebih-lebih lagi di Amerika Utara dan Asia berbanding di rantau lain, selain sokongan fiskal serta monetari, keadaan kewangan yang akomodatif secara amnya, dan kebolehsuaian sektor swasta,” katanya.

IMF berkata inflasi utama global dijangka menurun daripada anggaran 4.1 peratus pada 2025 kepada 3.8 peratus semasa 2026 dan seterusnya kepada 3.4 peratus menjelang 2027.

Unjuran inflasi juga secara amnya tidak berubah daripada Oktober dan membayangkan inflasi di Amerika Syarikat akan kembali kepada sasaran secara beransur-ansur berbanding ekonomi-ekonomi besar yang lain.

“Risiko terhadap unjuran kekal condong ke arah bawah. Penilaian semula jangkaan pertumbuhan produktiviti tentang AI boleh membawa kepada penurunan dalam pelaburan dan mencetuskan pembetulan pasaran kewangan yang mendadak, merebak daripada syarikat berkaitan AI ke segmen lain dan menghakis kekayaan isi rumah. Ketegangan perdagangan boleh memuncak, seterusnya, memanjangkan ketidaktentuan dan menjejaskan aktiviti secara lebih ketara,” katanya.

Sementara itu, IMF ketika mengulas mengenai kenaikan berkata aktiviti boleh dilonjakkan lagi oleh pelaburan berkaitan AI dan akhirnya berubah menjadi pertumbuhan yang mampan jika penggunaan AI yang lebih pantas diterjemahkan kepada keuntungan produktiviti yang kukuh dan peningkatan dinamisme perniagaan.

“Aktiviti juga boleh disokong oleh kelonggaran yang berterusan dalam ketegangan perdagangan. Selain dasar yang mampu memupuk kestabilan, Usaha meningkatkan prospek pertumbuhan jangka sederhana secara mampan pula, memerlukan tumpuan mendalam untuk memulihkan penampan fiskal termasuk mengawal kestabilan harga dan kewangan, mengurangkan ketidaktentuan termasuk pelaksanaan pembaharuan ke atas struktur tanpa sebarang penangguhan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan