KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) menyita 58 kenderaan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan di sekitar Wangsa Maju, Setapak dan Gombak.
Pengarah JPJ WPKL Hamidi Adam berkata operasi yang bermula 9 pagi hingga 2 petang itu melibatkan Unit Operasi dan Falcon, hasil risikan mengenai penglibatan warga asing yang memandu tanpa lesen serta dokumen sah.
“Mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada mempunyai lesen kenderaan motor, perlindungan insurans dan lesen memandu.
“Ada cubaan daripada sesetengah warga asing ini untuk melarikan diri, namun kita berjaya menahan kembali mereka dan dibawa ke JPJ WPKL untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di JPJ Wangsa Maju, hari ini.
Beliau berkata operasi itu turut membongkar taktik warga asing membeli kenderaan daripada warga tempatan tanpa melakukan proses pertukaran hak milik secara sah dalam sistem bagi mengelak peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
"Bila kita semak dengan warga asing ni, mereka sebenarnya telah membeli kenderaan tersebut daripada pemilik tapi tidak dibuat secara sah. Dalam sistem tiada pertukaran hak milik dan masih milik warga tempatan,” katanya dan menambah warga tempatan terbabit akan turut dikenakan tindakan undang-undang.
Hamidi berkata sebanyak 58 pemandu warga asing itu, terdiri 15 warga Pakistan, India (13), Indonesia (11), Bangladesh (10), Myanmar (lapan) dan seorang warga Palestin.
Beliau berkata hasil soal siasat mendapati kebanyakan mereka bekerja membawa barang lusuh, selain ada yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan.
Sepanjang operasi itu juga, sebanyak 323 kenderaan telah diperiksa dan 283 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen kenderaan motor, tiada perlindungan insurans dan tiada lesen memandu.
Selain itu, Hamidi turut memberi amaran keras kepada kontraktor pembersihan yang sering menggunakan khidmat warga asing sebagai pemandu lori sampah tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.
Beliau berkata walaupun pertemuan telah diadakan dengan pihak berkuasa tempatan serta syarikat berkaitan bagi menangani isu itu, namun masih terdapat syarikat yang berdegil apabila lima lori sampah turut disita hari ini.
Kesemua kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1), manakala saman dikeluarkan mengikut Seksyen 23(1), 23(2) dan 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hamidi berkata statistik sitaan PEWA oleh JPJ WPKL menunjukkan trend penurunan, iaitu sebanyak 586 kenderaan pada 2024 dan 376 kenderaan tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial