WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK Kinabatangan, Lamag: 93 Peratus Pengundi Awal Tunai Tanggungjawab - SPR

20/01/2026 07:40 PM

KINABATANGAN, 20 Jan (Bernama) -- Sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata agensi itu, merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukannya kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, petugas media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Proses pengundian awal yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, melibatkan satu saluran pengundian dan sebanyak 189 orang anggota polis layak untuk mengundi awal dalam kedua-dua PRK berkenaan.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan