CHUKAI, 20 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan lima kru warga asing setelah mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah di perairan Kuala Kemaman dekat sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim APMM Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata bot itu ditahan pada 10.20 pagi selepas bot ronda APMM yang menjalankan Operasi Iman di perairan Terengganu mengesan pergerakan mencurigakan pada jarak kira-kira 35 batu nautika dari Kuala Kemaman.
“Pemeriksaan mendapati bot nelayan itu dikendalikan lima kru termasuk tekong Myanmar berusia antara 23 hingga 48 tahun.
“Seorang daripada awak-awak asing itu disyaki bekerja menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sekali gus melanggar peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Halim berkata bot itu dikesan membawa hasil laut seberat kira-kira 100 kilogram dan 9,000 liter diesel.
Kesemua kru bot itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah ketika pemeriksaan.
Siasatan dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 dengan kesemua mereka dibawa ke jeti APMM bagi proses dokumentasi serta siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial