WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Badan Kehakiman Tubuh Mahkamah Tinggi Khas Rasuah

20/01/2026 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah serta rayuan daripada Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan sebagai langkah permulaan, penubuhan mahkamah itu akan dilaksanakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kenyataan itu memaklumkan inisiatif penubuhan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah itu dipersetujui oleh Hakim Besar Malaya dan Ketua Hakim Negara bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 semalam.

Seri Paduka Baginda bertitah berhubung keperluan menyediakan hakim berpengalaman untuk mendengar kes rasuah serta menyediakan laluan khas supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Badan Kehakiman Malaysia dalam memperkukuh integriti sistem kehakiman serta memastikan perbicaraan kes rasuah dijalankan secara cekap, telus dan berkesan demi kepentingan keadilan dan negara.

Pada masa ini, sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah telah ditubuhkan di seluruh negara bagi mendengar kes rasuah, dengan sasaran menyelesaikan setiap kes dalam tempoh satu tahun dari tarikh pendaftaran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan