WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RXZ Forever Legend: JPJ Akan Lakukan Pemeriksaan Rawak Terhadap Peserta

19/01/2026 08:28 PM

KOTA BHARU, 19 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap peserta RXZ Forever Legend yang berlangsung pada 6 dan 7 Feb ini di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, di sini.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata pemeriksaan itu akan menumpukan aspek pemakaian topi keledar, modifikasi motosikal serta tahap bunyi ekzos yang bising.

“Dari segi lesen, cukai jalan itu merupakan tanggungjawab individu sendiri. Tidak perlu kita ingatkan perlu ada lesen dan lain-lain, kerana kita maklum apabila ada kenderaan, lesen, cukai jalan itu semua perlu ada,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan kursus peningkatan jati diri, disiplin dan profesionalisme petugas syarikat Queen Express di sini hari ini.

Mohd Misuari berkata jabatan itu mempunyai pasukan risik serta pasukan pemantau untuk memantau peserta termasuk di jalan-jalan kampung sepanjang dua hari program berlangsung.

JPJ juga katanya bersedia membantu pihak polis sekiranya diperlukan demi memastikan keadaan terkawal.

Sementara itu, Mohd Misuari berkata kadar pematuhan pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan penumpang bas ekspres di Kelantan sudah mencapai 100 peratus sejak November tahun lepas.

Media sebelum ini melaporkan, bermula 1 Julai 2025 semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan