WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MCPF Cadang Puspen Digazet Sebagai Penjara Khas Untuk Penagih Dadah

18/01/2026 02:09 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

KOTA TINGGI, 18 Jan (Bernama) -- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan supaya Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) digazetkan sebagai penjara khas untuk penagih dadah bagi memastikan fokus rawatan dapat diberikan perhatian sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pencegahan Jenayah dan Pemulihan Berkaitan Dadah MCPF Datuk Kamarudin Md Ali berkata langkah itu bukan sahaja dapat membendung ketagihan dadah tetapi berupaya menampung kesesakan kira-kira lebih 70 peratus banduan di penjara yang terlibat dalam kes dadah ketika ini.

Beliau berkata golongan berkenaan khususnya penagih tegar perlu ditempatkan di pusat pemulihan yang memfokuskan kepada program rawatan ketagihan dan peraturan pemulihan, berbanding penjara yang lebih bersifat koreksional.

Kamarudin berkata PUSPEN yang dikendalikan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) juga berada di seluruh negara dengan kemampuan kapasiti dianggarkan lebih 25,000 orang.

“Kemudahan pemulihan PUSPEN lebih terkhusus dan lengkap, meskipun penjara turut mempunyai rawatan (untuk penagih), namun ia lebih (bersifat) koreksional untuk memperbaiki mereka daripada jenayah, berbanding ketagihan (yang memerlukan fokus pemulihan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas temu bual di Bernama Mobile Studio mengenai topik ‘Jerat Halusinasi: Antara Penjara dan Jalan Pemulihan’ di Felda Bukit Waha sempena Program FELDA: Desaku Mendunia ‘Generasi Sihat Komuniti Hebat’ anjuran bersama AADK dan MCPF.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan supaya PUSPEN dijadikan sebagai penjara khas untuk penagih dadah dengan pengubahsuaian yang bersesuaian, memandangkan kemudahan serta tenaga kerja bagi tujuan pemulihan sudah sedia ada di pusat berkenaan.

Beliau berkata langkah itu membolehkan kerajaan meneruskan hukuman dan melaksanakan pemulihan tanpa perlu membina penjara baharu.

“Sekarang saya dapati, banyak kekosongan di PUSPEN kerana apabila tangkapan dibuat oleh pihak polis mereka masuk penjara.

“Mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya, mereka turut dikenakan dua kali sebatan kerana penagih tegar. Justeru, saya memikirkan kenapa tidak masukkan mereka ke dalam PUSPEN yang dahulunya boleh memuatkan sehingga 25,000 orang,” katanya.

PUSPEN bukan sahaja berperanan sebagai pusat rawatan dan pemulihan penagihan dadah, ia turut merangkumi pembangunan sahsiah dan kemahiran kendiri untuk membantu mereka kembali ke dalam masyarakat.

Program di PUSPEN turut menekankan aspek disiplin, kaunseling, rawatan psikososial serta sokongan berterusan bagi mengurangkan risiko penagihan berulang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan