DUNIA > BERITA

Trump Undang Perdana Menteri Pakistan Sertai Lembaga Keamanan Gaza

18/01/2026 11:55 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 18 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif menerima undangan  Presiden Amerika Syarikat (AS)  Donald Trump untuk menyertai "Lembaga Keamanan" Gaza, menurut kenyataan Kementerian Luar pada Ahad.

"Pakistan akan terus terlibat dengan usaha antarabangsa bagi keamanan dan keselamatan di Gaza, ke arah penyelesaian berkekalan terhadap isu Palestin selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata jurucakap kementerian itu.

Pada Jumaat, Rumah Putih mengumumkan pembentukan "Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG)", yang disifatkan sebagai "langkah penting ke hadapan" dalam melaksanakan fasa kedua pelan Trump untuk menamatkan konflik Gaza.

Jawatankuasa itu, yang diketuai oleh Ali Shaath, seorang jurutera dan bekas timbalan menteri dalam Pihak Berkuasa Palestin, akan menguruskan hal ehwal harian wilayah berkenaan yang musnah akibat genosid oleh tentera Israel sejak Oktober 2023

Rumah Putih berkata bahawa bagi "pengoperasian visi Lembaga Keamanan", sebuah lembaga eksekutif pengasas yang "terdiri daripada pemimpin berpengalaman dalam diplomasi, pembangunan, infrastruktur, dan strategi ekonomi" telah ditubuhkan.

Ahli-ahlinya termasuk Setiausaha Negara AS Marco Rubio, utusan khas AS ke Timur Tengah merangkap hartawan hartanah Steve Witkoff, menantu Trump Jared Kushner, bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair, Ketua Pegawai Eksekutif firma ekuiti swasta New York Apollo Global Management Marc Rowan, Presiden Bank Dunia Ajay Banga, serta Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS Robert Gabriel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan