WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGC Tarik Balik Semakan Kehakiman Akta Perhimpunan Aman

16/01/2026 07:45 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012  adalah tidak berperlembagaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan penalti ke atas penganjur yang gagal memberikan notis lima hari kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan.

Dalam notis tiga muka surat yang ditandatangani oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin, AGC memaklumkan menarik balik permohonan semakan yang telah difailkan pada 12 Disember tahun lepas.

Pada Julai tahun lepas, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat (kini bersara), sebulat suara membatalkan Seksyen 9(5) PAA, yang memperuntukkan denda hingga RM10,000 ke atas penganjur yang gagal memberikan notis kepada polis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan. 

Dalam penghakimannya, Tengku Maimun memutuskan, antara lain, bahawa Seksyen 9(5) melanggar hak untuk berhimpun secara aman yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan ini dibuat susulan cabaran perlembagaan terhadap hukuman di bawah Seksyen 9(5) PAA oleh bekas Setiausaha Agung MUDA Amir Hariri Abd Hadi, yang didakwa pada tahun 2022 kerana gagal memaklumkan kepada polis daerah Dang Wangi lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur berkaitan isu perolehan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Amir Hariri mengaku tidak bersalah pada 2022 dan kemudian dibebaskan pada tahun lepas susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Sementara itu, seorang daripada peguam Amir Hariri ketika dihubungi Bernama mengesahkan AGC telah menarik balik permohonan semakan berkenaan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan