KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menjadi antara fokus utama ucapan dasar Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri pada Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap UMNO yang berlangsung di sini hari ini.
Mereka menyentuh pelbagai aspek antaranya pemilihan calon, pengukuhan jentera parti, perangkaan strategi bagi mendekati pengundi muda serta penggubalan dasar yang lebih segar dan relevan dengan keperluan semasa.
Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan perlu bermula dari dalam parti sebagai langkah strategik memartabatkan wanita.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata UMNO perlu menetapkan sasaran minimum 30 peratus itu secara berperingkat, terancang dan diikat secara rasmi dalam perlembagaan parti selain meletakkan garis masa pelaksanaan dasar mengiktiraf peranan wanita sebagai penggerak masyarakat.
Selain itu, Noraini berkata UMNO perlu menjadi pelopor penggubalan Akta Pendanaan Politik bagi menjamin ketelusan dan integriti sistem demokrasi negara dengan setiap sumbangan direkod dan didedahkan secara telus agar tiada lagi ruang fitnah serta tohmahan.
Bagi memastikan kelangsungan parti, Noraini berkata jentera perlu menguasai aspek heartware (kekuatan hati dan sentuhan kemanusiaan) serta hardware (penguasaan teknologi) dalam usaha menawan hati rakyat dan mengembalikan keyakinan terhadap parti menjelang PRU16.
"Politik kini adalah pertempuran persepsi, emosi, data dan kelajuan maklumat. Pendekatan baharu perlu dijana. Wanita UMNO mesti bersedia dengan dua kekuatan yang saling melengkapi (heartware dan hardware)," katanya.
Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam politik dan pentadbiran yang sering dilaungkan, masih belum diterjemahkan sepenuhnya dalam struktur dalaman parti.
“Ini zaman orang muda, peluang kenalah sama rata. Namun, jika parti masih ragu-ragu untuk memberi ruang kepada calon wanita muda, maka sebenarnya kita sedang menyimpang daripada tradisi progresif UMNO sendiri,” katanya.
Beliau berkata wanita kini masih berdepan cabaran besar di tempat kerja, gaji tidak saksama, peluang kenaikan pangkat yang lambat, pengagihan tugas tidak setara dan gangguan seksual, sekali gus memerlukan kepimpinan wanita bagi membuka jalan supaya golongan itu mendapat peluang adil untuk berkembang dan membawa perubahan nyata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial