WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Tahan Doktor Disyaki Bunuh Isteri Dan Anak Lelaki

15/01/2026 05:00 PM

JOHOR BAHRU, 15 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang doktor kerana disyaki membunuh isteri dan anak lelakinya berusia empat tahun di kediaman mereka di Bandar Dato' Onn di sini, 31 Dis tahun lepas. 

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata suspek yang berusia 33 tahun ditahan pada 3 Jan, dengan tempoh reman terhadapnya berakhir esok. 

Beliau berkata mangsa yang merupakan akauntan berusia 36 tahun ditemukan dengan kesan kelar pada leher manakala anaknya dalam keadaan biru pada bahagian muka dipercayai akibat ditekup pada 8.20 pagi 31 Dis.

“Bedah siasat di Hospital Sultan Ismail mendapati punca kematian wanita itu disebabkan asphyxia related death, manakala anak lelakinya akibat smothering dipercayai berunsurkan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ab Rahaman berkata polis juga merampas sebilah pisau dan satu bantal beserta sarung bagi membantu siasatan. 

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah,” katanya. 

Beliau berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini esok di bawah Seksyen 302, Seksyen 201 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan. 

Beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan prosiding mahkamah. 

-- BERNAMA 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan