WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kemboja, Thailand Perlu Berdialog Tamatkan Ketegangan - PM Anwar

21/12/2025 11:32 AM

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan adalah penting bagi Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan dan saling menghormati demi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ASEAN.

Anwar dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini berkata perkara itu dibincangkan menerusi perbualan telefon bersama Perdana Menteri Kemboja dan Thailand bagi bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju terbaik meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.

“Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan berlangsung esok merupakan wadah sesuai dan konstruktif untuk membolehkan kedua-dua negara berunding secara terbuka, menyelesaikan perbezaan secara aman, serta mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan,” kata beliau.

Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan mesyuarat khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand esok adalah susulan persetujuan dicapai oleh Anwar serta Perdana Menteri kedua-dua negara pada 11 Dis lepas.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan melalui Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Anwar pada 17 Dis lepas berkata, mesyuarat itu akan membolehkan ASEAN berbincang secara kolektif, menetapkan fakta di lapangan serta mempergiat usaha memujuk kedua-dua pihak menghentikan serangan di barisan hadapan, bermula dengan gencatan senjata segera.

Perdana Menteri berkata keputusan mengadakan mesyuarat itu, inisiatif Malaysia dan ASEAN, bertujuan meredakan ketegangan serta mengelakkan peningkatan konflik, dicapai susulan rundingan berterusan dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja.

Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja kembali memuncak pada Julai lepas, menyaksikan pertempuran bersenjata selama beberapa hari sebelum kedua-dua pihak bersetuju gencatan senjata pada 28 Julai. Kedua-dua negara kemudiannya menandatangani Perjanjian Damai KL pada 26 Okt di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pertempuran kembali tercetus baru-baru ini, mengakibatkan beberapa kematian dan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa melarikan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan