WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bangunan Tambahan PPKI Bakal Siap 2027, Tampung Pelajar Berkeperluan Khas

19/12/2025 03:49 PM

MELAKA, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka meneruskan komitmen memperkasakan pendidikan inklusif menerusi pembinaan bangunan tambahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil bagi menampung pertambahan pelajar berkeperluan khas di sekolah berkenaan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pembinaan projek bernilai RM5.6 juta itu dijadualkan siap sepenuhnya pada Ogos 2027 dan merupakan keperluan mendesak bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat serta kondusif kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).

Beliau berkata pertambahan jumlah pelajar PPKI setiap tahun menyebabkan bilik darjah sedia ada menjadi semakin padat dan melebihi kapasiti, sekali gus memberikan cabaran dari sudut keselesaan, keselamatan serta keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

"Jumlah pelajar PPKI di sekolah ini mencecah 80 orang dan dijangka terus meningkat pada tahun-tahun mendatang. Situasi ini bukan sahaja memberikan cabaran dari sudut keselesaan dan keselamatan, tetapi turut menjejaskan keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran pelajar yang memerlukan perhatian dan fasiliti khusus.

"Jadi, kemudahan baharu ini mampu menampung lebih 90 pelajar, sekali gus menyokong perkembangan, potensi, keyakinan diri serta kesejahteraan anak-anak berkeperluan khas ini, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan tiada anak Melaka yang tercicir atau terpinggir dalam sistem pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan PPKI bersempena dengan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di SMK Bukit Katil, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Katil Adly Zahari dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Melaka Mohamad Salzeli Moktar.

Projek itu katanya, bakal mempunyai antaranya enam bilik darjah, bilik interversi, bengkel bagi kursus pembuatan roti dan operasi pengeluaran tanaman serta kemudahan lain yang disesuaikan mengikut keperluan pelajar berkeperluan khas.

"Langkah ini ialah satu transformasi penting dalam pendidikan Melaka, malah menjadi satu pelaburan jangka panjang bagi melahirkan modal insan berkualiti sebagai aset strategik untuk masa depan negeri ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan