WILAYAH - SELATAN > BERITA

Bernama Rangkul Dua Anugerah Media Ketua Menteri Melaka 2025

15/12/2025 12:42 AM

MELAKA, 14 Dis (Bernama) -- Wartawan dan jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Melaka memenangi dua anugerah pada Anugerah Media Ketua Menteri Melaka 2025 di sini malam ini.

Wartawan yang juga Ketua Biro Bernama Melaka Mohd Fakri Awang Lah memenangi Anugerah Laporan Berita TV Cemerlang (Jebat), yang membawa pulang wang tunai RM500 serta sijil disampaikan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Jurufoto Bernama Biro Melaka Muhammad Zulhilmi Daud pula memenangi Anugerah Kewartawanan Foto Cemerlang (Jebat) dengan turut menerima wang tunai RM500 serta sijil disampaikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mohd Fakri, 37, yang berkhidmat di Bernama Biro Melaka kira-kira lima tahun berkata beliau memenangi anugerah berkenaan menerusi laporan berita bertajuk “IoT Ubah Kehidupan Pesara Tentera kepada Petani Moden".

“Saya tidak sangka memenangi anugerah ini. Bagi kategori Anugerah Laporan Berita TV Cemerlang saya hanya hantar satu penyertaan berbanding kategori Anugerah Berita Cemerlang Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris saya hantar lima penyertaan tetapi tidak menang.

"Ini kali pertama saya sertai pertandingan Anugerah Ketua Menteri Melaka dan alhamdulillah menang kategori berkenaan. Kemenangan ini akan menjadi pemangkin kepada saya untuk terus menghasilkan lebih banyak laporan berita menarik berkaitan Melaka," katanya yang menyertai Bernama pada 2012.

Sementara itu, Muhammad Zulhilmi, 35, yang bertugas di Biro Bernama Melaka selama lapan tahun berkata beliau terharu atas anugerah diterima dan menyifatkannya sebagai pengiktirafan untuk terus berkarya menghasilkan lebih banyak foto menarik berkaitan Melaka dan Bernama.

"Anugerah ini bukan untuk saya seorang tetapi juga Bernama khususnya pasukan Biro Melaka," katanya.

Pada majlis itu, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj turut menerima Anugerah Khas Ketua Menteri Melaka yang membawa pulang RM1,000 serta plak dan sijil.

Anugerah disampaikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu diterima oleh Mohd Fakri bagi pihak Arul Rajoo.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan