WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPJ Buat Laporan Polis, Nafi Keluar Nombor Pendaftaran Siri 'EE'

17/12/2025 10:49 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah mengeluarkan dan menggunakan tanda indeks nombor pendaftaran kenderaan siri “EE” seperti yang tular menerusi media sosial.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tanda indeks nombor pendaftaran kenderaan siri “EE” tidak pernah diperkenalkan atau diluluskan oleh jabatan terbabit.

“Surat kelulusan yang tular menerusi media sosial itu adalah palsu dan satu bentuk penipuan (scam) yang berpotensi mengelirukan serta memperdaya orang awam.

“Hasil siasatan awal mendapati format dan identiti surat rasmi JPJ digunakan secara tidak sah oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk penggunaan kepala surat, gaya penulisan dan susun atur yang menyerupai dokumen rasmi JPJ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aedy Fadly berkata tindakan terbabit menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai serta menjejaskan kredibiliti jabatan.

Susulan itu, pihaknya membuat laporan polis bagi siasatan lanjut dijalankan berhubung perkara itu.

“JPJ mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran atau maklumat berkaitan nombor pendaftaran kenderaan yang meragukan serta sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi JPJ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan