WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengasuh Dipenjara Lima Tahun Dera Kanak-kanak Lelaki Hingga Patah Tulang Paha

17/12/2025 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Seorang pengasuh dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kajang selepas didapati bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki dengan menendang paha kanan mangsa hingga patah, dua tahun lepas.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu semalam terhadap Nurdiana Lanonming, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam (16 Dis 2025), selain menandatangani bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan seorang penjamin serta cagaran RM2,000.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 36 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara. 

Nurdiana didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap  kanak-kanak lelaki berusia empat tahun 11 bulan, telah melakukan penderaan terhadap mangsa dengan menendang paha kanannya di sebuah rumah, Taman Taming Emas, Kajang pada 10.51 pagi, 20 Jun 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau maksimum penjara 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ibu mangsa telah menghantar anak lelakinya ke rumah tertuduh dalam keadaan baik, boleh berjalan dan tidak mempunyai sebarang kecederaan pada kakinya. Bagaimanapun Ibu mangsa kemudian menerima panggilan daripada tertuduh yang menyatakan kanak-kanak itu mengalami bengkak pada kaki kanan.

Ibu mangsa membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan perubatan mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan patah tulang femur sebelah kanan (dalaman) dan perlu menjalani pembedahan bagi tujuan rawatan.  

Berikutan itu, laporan polis telah dibuat terhadap tertuduh yang tidak mempunyai sijil tauliah sebagai pengasuh dan mangsa memberi tahu kepada ibunya serta doktor yang merawat bahawa tertuduh telah menendang kaki kanannya semasa berada dalam jagaan tertuduh.

Sebanyak lapan saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan manakala Nurdiana diwakili peguam Wan M.Razali Wan A.Kadir.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan