KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) berharapkan kepada kesinambungan dan kestabilan dasar susulan pengumuman Kabinet baharu semalam.
Ini, kata FMM, akan memberikan keyakinan kepada perniagaan dan pelabur untuk merancang dan melabur dalam tempoh jangka masa panjang
Presidennya Jacob Lee Chor Kok berkata pelaksanaan dasar sedia ada yang konsisten, komunikasi yang jelas dan pelaksanaan yang diselaraskan merentasi kementerian penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur di dalam dan luar negara.
“Dalam konteks ini, persekitaran cukai yang kompetitif dan boleh diramal adalah penting untuk menyokong pelaburan semula, menaik taraf industri dan transformasi sektor perkilangan yang lebih luas.
"Terdapat keperluan untuk memberi tumpuan kepada penurunan kos keseluruhan menjalankan perniagaan, terutamanya memandangkan tekanan kos yang dihadapi oleh industri pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee juga berkata langkah menangani kos tenaga, logistik dan pematuhan peraturan, serta penilaian teliti terhadap kesan pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan baru-baru ini, penting, kerana ini secara langsung mempengaruhi kos operasi dan aliran tunai, terutamanya kepada pengeluar dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata persekitaran perniagaan yang bertambah baik menerusi peraturan yang lebih jelas, proses kelulusan cekap dan penyelarasan antara agensi yang lebih kukuh akan meningkatkan lagi kemudahan menjalankan perniagaan dan kecekapan operasi.
“FMM melihat Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta ILTIZAM), yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2025, sebagai langkah positif ke arah memperkukuh kecekapan perkhidmatan dan disiplin kawal selia merentasi sektor awam,” katanya.
Menurutnya, tumpuan Akta ini terhadap kajian semula instrumen pengawalseliaan dan pengurangan beban pengawalseliaan menyediakan rangka kerja untuk peraturan yang lebih bertanggungjawab dan diperkemas.
"Bagaimanapun, kejayaannya bergantung pada pelaksanaan yang konsisten, pengukuran prestasi yang telus dan hasil yang diterjemahkan kepada penambahbaikan ketara untuk perniagaan di lapangan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial