WILAYAH - TENGAH > BERITA

The Ilham Foundation, Lima Syarikat Dibenar Mencelah Permohonan SPRM Beku Aset Di UK

09/12/2025 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) --The Ilham Foundation dan lima syarikat hari ini dibenarkan mencelah permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membekukan beberapa bangunan komersial dan kediaman di London, United Kingdom (UK) bernilai GBP132 juta.

Aset berkenaan merangkumi dua bangunan komersial di St Mary Axe dan One Crown Court; tiga kediaman mewah di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate; dua unit kediaman di Gloucester Place serta satu akaun bank di CAF Bank Limited (UK) yang didakwa mempunyai hubungan dengan keenam-enam syarikat.

Selain The Ilham Foundation yang dikaitkan dengan isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, syarikat lain ialah Copperfield Investment Holdings Limited, Straits Properties Ltd, Newton Assets Global Limited, Splendid International Limited dan Catalyst Assets Limited.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak Timbalan Pendakwa Raya tidak akan diprejudis oleh permohonan enam syarikat berkenaan untuk menjadi pencelah.

“Peruntukan di bawah Seksyen 53 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 adalah satu tindakan in personam kerana perintah yang dipohon akan melarang pemilik hartanah daripada berurusan dengan hartanah terbabit,” katanya sambil menambah mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan permohonan itu.

Beliau turut memerintahkan keenam-enam pencelah memfailkan afidavit jawapan dalam tempoh 30 hari.

Copperfield Investment Holdings Limited dan Straits Properties Ltd diwakili peguam G. Rajasingam, Sathya Kumardas dan Sharon Jessy manakala empat syarikat lain diwakili peguam Nizamuddin Hamid, Abraham Au, Syed Afiq Syed Albakri dan Vam Shir Mooi.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan, Natrah Fareha Rahmat, Maziah Mohaide dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal hadir bagi pihak responden.

Pada 3 Jun lepas, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) SPRM untuk membekukan aset berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki pada 22 Mei lepas berkata lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan Daim serta keluarga dan proksi.

Azam berkata maklumat terbaharu menunjukkan pemilikan aset Daim, keluarga dan sekutunya tidak diisytiharkan kepada SPRM semasa siasatan pada 2023.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan