WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Masih Kesan Suspek Kes Tembak, Tikam Anggota Di Simpang Pulai

15/12/2025 03:50 PM

IPOH, 15 Dis (Bernama) -- Polis masih giat mengesan suspek dipercayai terlibat dalam kes menembak dan menikam seorang anggota di Simpang Pulai, sebelum mayat seorang wanita ditemukan di dalam sebuah kereta yang dipandunya pada 7 Sept lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata suspek terbabit dipercayai kini berada di luar negara dan usaha mengesan individu berkenaan sedang dijalankan secara berterusan dengan kerjasama Bukit Aman serta beberapa agensi dan pihak berkaitan.

“Siasatan terhadap kes berkenaan masih diteruskan dan polis tidak menolak sebarang kemungkinan bagi menjejaki suspek yang kini dalam tindakan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya (OPS Kerja) Tahun 2025 di Unisem Ipoh di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisam berkata anggota polis yang mengalami kecederaan akibat ditembak dalam kejadian itu telah dipindahkan semula ke negeri kelahirannya di Sarawak atas faktor kebajikan bagi memudahkan rawatan susulan.

“Pihak polis akan terus komited menjalankan siasatan sehingga suspek berjaya dikesan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata pihaknya mendapatkan bantuan Interpol bagi mengesan suspek.

Dalam kejadian itu, polis berusia 26 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai terkena tembakan pada bahagian perut dan tikaman pisau semasa bergelut dengan suspek. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan