KOTA KINABALU, 6 Dis (Bernama) -- Kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta bermula tahun depan sebagai langkah mengurangkan beban syarikat kecil dan sederhana (PKS).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendengar secara langsung rungutan peniaga kecil mengenai kos melaksanakan sistem itu.
“Jadi kita kaji dalam masa singkat. Sudah kaji dan semalam dalam mesyuarat Jemaah Menteri sudah putuskan peringkat awal. Syarikat-syarikat kecil dan sederhana ini dia rasa itu menambah beban dan kos. Saya dengar…jadi syarikat-syarikat kecil tidak perlu lagi dipaksa (buat) e-invoicing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan MADANI Bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar berkata perkara itu dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam bagi memastikan pelaksanaannya tahun depan lebih realistik, tersusun dan tidak menekan perniagaan kecil yang masih dalam proses penyesuaian digital.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyentuh isu bayaran balik cukai yang tertangguh, yang katanya turut menimbulkan kemarahan peniaga yang menunaikan kewajipan membayar cukai mengikut jadual.
Sebagai langkah pembetulan segera, beliau mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan menaikkan peruntukan bayaran balik daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion pada Disember ini bagi mempercepat pembayaran tertunggak, terutama kepada peniaga kecil.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan kekal komited melaksanakan tuntutan pemberian hasil 40 peratus kepada Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Bagi saya ini hebatnya Kerajaan MADANI. Selalunya selepas pilihan raya kita cuti sekejap. Tapi tak ada, sebab saya tidak mahu ada andaian bahawa budaya politik itu budaya politik yang menjanji-janji tapi tidak laksanakan,” katanya.
Beliau berkata Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican telah memulakan mesyuarat awal bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong untuk merangka parameter pelaksanaan.
Bagaimanapun, katanya mesyuarat penuh dijangka diadakan sebelum pertengahan Januari depan selepas beberapa kekosongan jawatan di Kabinet diselesaikan.
“Kita tetapkan (jelas) parameternya, jumlahnya dan berapa peringkat pembayaran dalam satu tahun dan sebagainya. Semua itu kita akan serahkan kepada jawatankuasa teknikal, kemudian jawatankuasa Persekutuan dan negeri, sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri Sabah dan Jemaah Menteri Persekutuan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penetapan parameter jelas amat penting bagi memastikan pembayaran dibuat secara tersusun dan kukuh dari segi perundangan.
Anwar berkata beberapa aspek memerlukan pindaan undang-undang seperti yang berlaku dalam penyerahan kuasa elektrik kepada Sabah sebelum ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa perundingan berkaitan 40 peratus hasil Sabah itu tidak harus dilihat sebagai retorik politik kerana kerajaan berusaha melaksanakannya secara telus dan bertanggungjawab.
Perdana Menteri menambah bahawa komitmen itu adalah sebahagian daripada pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan penyelesaian berasaskan keadilan dan hak negeri sebagaimana dipersetujui ketika penubuhan Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial