SUKAN > BERITA

"Menang Laos, Tonik Hadapi Vietnam" - Nafuzi

06/12/2025 09:15 PM

 

BANGKOK, 6 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan bola sepak lelaki bawah 23 tahun (B-23) negara Mohd Nafuzi Zain menjangkakan pertembungan sukar menentang Vietnam pada Khamis depan (11 Dis) dalam saingan Sukan SEA 2025 di Thailand.

Nafuzi berkata pemainnya perlu kekal fokus dan membuat persiapan rapi, sambil menekankan bahawa Vietnam adalah juara pada edisi 2019 dan 2021.

“Seperti yang diketahui, Vietnam merupakan pasukan yang kuat, terdiri daripada pemain pantas, berbakat dari segi teknikal, tenang dan matang. Kami perlu memberikan yang terbaik untuk mengalahkan mereka,” katanya pada sidang media selepas menewaskan Laos 4-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium Nasional Rajamangala di sini, hari ini.

Beliau menegaskan pasukan tidak boleh kecundang jika mahu menjuarai kumpulan dan melangkah ke peringkat seterusnya.

Namun, beliau berbangga dengan persembahan anak buahnya menentang Laos walaupun tanpa beberapa tonggak utama yang masih terikat dengan komitmen liga tempatan.

“Pemain yang masuk ke kejohanan ini sedar bahawa ini bukan barisan terkuat yang boleh kami turunkan, tetapi keserasian dan semangat berpasukan memberi keyakinan untuk beraksi.

“Kami gembira memenangi perlawanan pembukaan ini dan ia akan meningkatkan keyakinan menjelang pertembungan dengan Vietnam,” katanya.

Pertemuan dengan Vietnam di venue sama merupakan perlawanan terakhir Kumpulan B yang dijangka menentukan juara kumpulan.

Sementara itu, ketua jurulatih Laos, Ha Hyeok-jun mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kemenangan meyakinkan itu, sambil mengakui pasukannya kekurangan dalam “semua aspek”.

“Pemain kami telah memberikan yang terbaik dari segi taktikal dan fizikal menentang Malaysia. Keputusan jaringan tidak mencerminkan persembahan mereka, tetapi mereka sudah cuba sebaik mungkin. Mereka masih muda dan saya fikir kami memerlukan lebih masa untuk membentuk mereka menjadi pasukan elit,” katanya.

Kumpulan B dianggotai Malaysia, Vietnam dan Laos. Kumpulan A pula menampilkan tuan rumah Thailand dan Timor-Leste, manakala Kumpulan C terdiri daripada juara bertahan Indonesia, Myanmar, Filipina dan Singapura.

Juara setiap kumpulan serta naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan