WILAYAH - SELATAN > BERITA

Melaka Siap Sedia Pengurusan Bencana Sepanjang Tempoh MTL - Exco

21/11/2025 11:51 AM

MELAKA, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Melaka bersiap siaga daripada pelbagai aspek termasuk penyelarasan antara agensi bagi menghadapi kemungkinan banjir dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula minggu lepas.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad turut mengadakan mesyuarat berkala berhubung situasi terkini.

"Setakat hari ini, Melaka masih dalam keadaan baik dan tidak ada isu besar atau bencana dengan JPBN telah mendapat taklimat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung langkah persediaan," katanya selepas merasmikan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Melaka 2025 di sini malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan.

Rais berkata pemantauan di lokasi berisiko juga telah dilaksanakan oleh agensi berkaitan dari semasa ke semasa dan amaran awal akan dikeluarkan sekiranya risiko bencana dikesan bagi memudahkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata pusat pemindahan sementara juga telah diselaras dari semua aspek terutama kebajikan bagi memberi keselesaan serta menjamin keselamatan penghuni.

Sebelum ini, MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan MTL 2025/2026 yang bermula pada 14 Nov lepas dijangka berterusan hingga Mac tahun depan dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan