WILAYAH - UTARA > BERITA

Penolong Pendaftar Mahkamah Didenda RM3,500 Tipu Berkaitan Khidmat Guaman

21/11/2025 08:49 PM

KANGAR, 21 Nov (Bernama) -- Seorang penolong pendaftar mahkamah didenda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu dua individu bagi mendapatkan khidmat guaman yang melibatkan nilai sebanyak RM3,000 pada 2021.

Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi turut memerintahkan tertuduh Mohd Azizi Othman, 46, dihukum penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mohd Azizi dituduh menipu seorang wanita berusia 26 tahun dan lelaki berusia 30 tahun dengan cara memperdayakan mereka untuk mempercayai tertuduh boleh mendapatkan khidmat guaman bagi permohonan pengesahan anak, dengan menyerahkan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada tertuduh, namun dia tidak berbuat demikian.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Bilik Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah Kangar pada 17 Mac 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan wang berjumlah RM2,800 daripada jumlah keseluruhan RM3,000 yang dirampas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia melalui suruhanjaya tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis S. Sujatha manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein dan Zuhair Ahmad Zakuan.

Berdasarkan fakta kes, wanita dan lelaki itu merupakan pasangan suami isteri yang telah berkahwin pada 23 Okt 2020 dan semasa itu wanita berkenaan telah mengandung lima bulan.

Pada 17 Mac 2021, pasangan suami isteri itu bertemu Mohd Azizi dan dia menyerahkan Borang MS3 iaitu Permohonan Pengesahan Sabitan Nasab serta dokumen lampiran, selain meminta mereka menurunkan tandatangan pada dokumen itu dan meminta bayaran RM3,000.

Tertuduh mengarahkan wanita itu membuat pendaftaran kes di kaunter dan wanita itu membayar pendaftaran kes sebanyak RM45 dengan tarikh sebutan kes pada 5 April 2021.

Pasangan suami isteri itu kemudiannya meminta resit bayaran RM3,000 itu daripada tertuduh, namun dia memberitahu akan menyerahkan pada 5 April 2021 tetapi wanita dan lelaki itu tetap menginginkan resit itu pada hari sama yang kemudian tertuduh menunjukkan satu resit berjumlah RM3,000 atas nama lain.

Selain itu, tertuduh juga mengaku resit berkenaan adalah palsu dan bagi kes pasangan suami isteri itu sebenarnya tidak memerlukan penglibatan peguam kerana mereka sendiri perlu mewakili kes mereka sehingga wanita dan lelaki itu berasa ditipu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan