WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pertambahan Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak Selaras Kehendak MA63 - Hajiji

16/11/2025 07:20 PM

TUARAN, 16 Nov (Bernama) -- Persetujuan secara dasara Kerajaan Persekutuan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak adalah selaras dengan kehendak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan langkah yang positif dalam merealisi tuntutan MA63 dan beliau menyambut baik persetujuan kerajaan mengenainya.

"Ini semestinya yang ditunggu-tunggu oleh Sabah dan Sarawak untuk kita mendapatkan tambahan bilangan kerusi Parlimen. Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang agak besar dan wajar diberi pertimbangan khas untuk tambah kerusi Parlimen.

"Ia juga seperti yang termaktub dalam MA63, iaitu Sabah dan Sarawak sekurang-kurangnya mempunyai satu pertiga bilangan kerusi di Parlimen," katanya dalam kenyataan selepas pertemuan dengan jentera pilihan raya GRS Sulaman di Kampung Lok Batik di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata kerajaan secara dasarnya bersetuju menambah bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak mengambil kira jumlah pengundi di kedua-dua negeri berkenaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk menambah bilangan kerusi bagi kedua-dua negeri berkenaan mengikut keperluan.

Sementara itu, Hajiji berkata pertambahan kerusi diperlukan memandangkan terdapat kawasan Parlimen yang mengalami peningkatan penduduk seperti di Kinabatangan dan Tuaran.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri," katanya.

Sabah dan Sarawak masing-masing memiliki 25 dan 31 kerusi Parlimen.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan