WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rakyat Malaysia Ditahan Di Thailand Disyaki Anggota Sindiket Dadah Rentas Negara - Bukit Aman

14/11/2025 04:36 PM

KLANG, 14 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan yang ditahan pihak berkuasa Thailand bersama 75 kilogram ketamin minggu lepas dipercayai merupakan anggota rangkaian pengedaran dadah rentas negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menyelaras siasatan dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan saki-baki anggota rangkaian sindiket itu yang dipercayai turut bergiat aktif di negara ini.

“Siasatan lanjut mendapati lelaki itu memiliki empat rekod lampau dan polis turut mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket sama.

“Mengenai kes yang sedang disiasat pihak Thailand, kita menunggu proses undang-undang di negara tersebut kerana mereka mempunyai keterangan untuk mendakwa suspek di sana," katanya pada sidang media di Balai Polis Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Hussein berkata pihak berkuasa Thailand mempunyai asas kukuh untuk mendakwa suspek berdasarkan keterangan yang telah dikumpulkan, dan lazimnya negara yang membuat tangkapan akan menjalankan pendakwaan khususnya berkaitan dadah.

Beliau berkata maklumat diperoleh dari Thailand turut digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneliti struktur keseluruhan rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

“Bagi rangkaian sindiket yang turut beroperasi di Malaysia, PDRM akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan maklumat yang diperoleh,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengenal pasti rangkaian sindiket yang dikaitkan dengan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun selepas dia ditahan bersama 75 kilogram ketamin di dalam kereta dipandunya di Wilayah Chumphon, Selatan Thailand, Khamis lepas.

Media Thailand melaporkan penahanan itu dilakukan oleh Biro Pembanterasan Narkotik Polis Thailand (PNSB) bersama Polis Wilayah Chumphon dalam satu sekatan jalan raya di Mukim Hong Charoen, daerah Tha Sae.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan