WILAYAH - SELATAN > BERITA

PMR 2025 Melaka Melabuhkan Tirai, Tarik Lebih 260,000 Ribu Pengunjung

19/10/2025 10:18 PM

JASIN, 19 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau melabuhkan tirai hari ini dengan mencatat kehadiran lebih 260,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran, menjadikannya antara program kerajaan paling mendapat sambutan di negeri itu tahun ini.

Bertemakan “Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara”, program anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka itu berjaya melepasi sasaran awal 100,000 pengunjung.

MINDEF dalam kenyataan memaklumkan program itu menjadi platform rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan secara terus melalui kaunter konsultasi dan perkhidmatan bergerak yang menawarkan maklumat dasar, bantuan serta peluang dalam bidang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan keusahawanan.

“Lebih 100 perkhidmatan kerajaan ditawarkan kepada orang ramai dengan penyertaan 27 reruai kementerian dan agensi, termasuk pameran interaktif serta penyertaan usahawan jualan MADANI,” menurut kenyataan itu.

Edisi PMR 2025 Melaka kali ini lebih menarik dengan tarikan utama segmen pertahanan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menampilkan pameran aset ketenteraan, demonstrasi taktikal, pertunjukan udara, persembahan kebudayaan serta pelbagai aktiviti interaktif bersama rakyat.

Selain itu, pelbagai aktiviti komuniti turut diadakan termasuk program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pameran teknologi robotik, jualan makanan tempatan, perkhidmatan kerajaan serta pemeriksaan kesihatan percuma.

Menurut kenyataan itu, penganjuran PMR 2025 Melaka turut diperluas ke kawasan sekitar melalui Program Satelit berteraskan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang merangkumi aktiviti baik pulih bangunan, gotong-royong, program kesihatan, pengagihan makanan serta program kerjaya dan kesukarelawanan.

Melaka dipilih sebagai lokasi penutup siri PMR tahun ini susulan reputasinya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal dengan warisan dan budaya, selain menonjol sebagai negeri progresif berteraskan inovasi, kemajuan teknologi serta kesejahteraan rakyat, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu, pesara Siti Aishah Aman, 57, berkata beliau menghadiri PMR bersama keluarga kerana mahu mengetahui dengan lebih dekat pelbagai perkhidmatan dan program yang ditawarkan kerajaan.

“Bila datang sini, memang nampak banyak pengisian untuk semua peringkat umur. Untuk pelajar, ada maklumat tentang TVET dan hala tuju selepas sekolah manakala orang dewasa pula boleh buat pemeriksaan kesihatan percuma dan dapat info daripada pelbagai agensi,” katanya.

Beliau berkata program seperti PMR sangat bermanfaat dan informatif kerana menyatukan pelbagai jabatan kerajaan di satu tempat sekali gus memudahkan rakyat mendapatkan maklumat dan perkhidmatan secara terus.

“Saya juga sempat singgah di Kenduri Rakyat, satu inisiatif yang sangat baik kerana ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memberi peluang kepada pengunjung menjamu selera bersama sambil menikmati juadah daripada pelbagai negeri,” katanya.

Bagi Nur Hanisah Mohd Sukri, 20, program seperti PMR wajar diteruskan kerana memberi peluang kepada golongan muda menambah pengetahuan serta meningkatkan semangat cintakan negara.

“Saya tahu tentang PMR Melaka melalui media sosial dan rasa teruja nak datang tengok pameran ketenteraan. Seronok dapat kenal lebih dekat pasukan tentera kita dan tengok sendiri aset-aset mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan