WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pameran Pertahanan PMR 2025 Melaka Bangkit Memori Veteran ATM

19/10/2025 06:42 PM

JASIN, 19 Okt (Bernama) -- Kehadiran pelbagai aset dan peralatan ketenteraan yang dipamerkan sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka bukan sahaja mencuri tumpuan golongan muda, malah membangkitkan rasa bangga serta menggamit memori dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hadir.

Bagi Lt. Kol. (B) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Shaedi Abu Bakar, 64, pameran anjuran Kementerian Pertahanan (MINDEF) itu seolah-olah membawa beliau kembali ke markas operasi udara TUDM suatu ketika dahulu, mengimbau saat menabur bakti menjaga kesiapsiagaan aset pertahanan negara bersama rakan seperjuangan.

“Kebanyakan peralatan yang dipamerkan kali ini adalah yang baharu. Bila nampak pesawat Skyhawk dari Muzium Tentera Udara, terus terbayang semula suasana operasi dahulu.

“Sekarang aset pertahanan kita jauh lebih moden, menunjukkan betapa majunya keupayaan ketenteraan negara hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama.

Menurutnya, penganjuran pameran seumpama itu bukan sekadar untuk tontonan umum, sebaliknya menjadi medium terbaik mendekatkan masyarakat dengan dunia pertahanan serta menarik minat golongan muda menyertai ATM.

Sementara itu, bekas Pegawai Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja Tentera Darat, Mej. (B) Mazlan Mat Atan, 69, berkata pameran berkenaan bukan sahaja mengimbau kenangan silam, malah menjadi wadah memperkenalkan masyarakat kepada realiti dan potensi sebenar kerjaya ketenteraan.

“Saya bersyukur dan gembira dengan penganjuran program seperti ini. Ia bukan sekadar mempamerkan aset, tetapi memberi peluang kepada orang ramai memahami pengorbanan serta keupayaan anggota ATM,” katanya.

Beliau berkata demonstrasi dan pameran aset ATM memberi pendedahan berguna kepada generasi muda yang selama ini kurang mengetahui mengenai teknologi serta kekuatan pertahanan negara.

“Program seperti ini juga mampu menarik minat anak muda dan dalam masa sama mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial tidak sihat.

“Daripada melepak atau merempit, lebih baik mereka datang melihat sendiri aset pertahanan negara dan mengenali kerjaya dalam ketenteraan. Bukan selalu kita berpeluang melihat aset-aset ini dipamerkan,” katanya.

Bertemakan “Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara”, program tiga hari itu dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama strategik MINDEF dan kerajaan negeri Melaka selaku penganjur bersama.

Edisi kali ini tampil dengan kelainan apabila aset dan peralatan ketenteraan dibawa khas oleh MINDEF, memberi peluang kepada orang ramai melihat lebih dekat elemen pertahanan negara selain memahami konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) berasaskan semangat mempertahankan tanah air melalui pendekatan 'whole-of-government, whole-of-society' (WOGOS).

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan