PETALING JAYA, 14 Okt (Bernama) -- Siasatan awal mendapati pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah di sini, pagi tadi, ditikam berulang kali menggunakan dua senjata berbeza.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata berdasarkan pemerhatian pada badan mangsa, tikaman berulang kali itu berkemungkinan menyebabkan mangsa maut.
“Kita lihat memang ada banyak kesan tikaman, namun belum dapat dipastikan dengan sebenar berapa kali mangsa ditikam.
“Proses bedah siasat masih berlangsung yang akan menentukan punca sebenar kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Shamsudin berkata polis masih menjalankan siasatan motif kejadian dari semua sudut, termasuk dakwaan tersebar di media sosial bahawa suspek bertindak sedemikian kerana mangsa menolak cintanya.
“Proses siasatan masih lagi berjalan dan dilakukan secara menyeluruh. Keterangan pelajar juga masih dirakam. Apa-apa sahaja maklumat perlu diteliti dahulu,” katanya.
Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kejadian itu terdiri daripada pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang dibantu pasukan forensik dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Menurt beliau, suspek berusia 14 tahun manakala mangsa pula berusia 16 tahun, dan kedua-dua mereka belajar di kelas peralihan masing-masing di tingkatan satu dan tingkatan tiga.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) apabila ahli keluarga mangsa hadir bagi urusan bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi tadi, seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut disyaki ditikam seorang pelajar lelaki dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku di dalam kawasan sekolah manakala suspek berumur 14 tahun yang merupakan pelajar sekolah sama telah berjaya ditahan.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial