WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Raja Permaisuri Agong Titah KPM Nilai Keberkesanan Modul TinDak

14/10/2025 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah supaya Kementerian Pendidikan (KPM) melihat keberkesanan modul kempen Tindak Demi Anak Kita (TinDak) dalam usaha memperkukuh persekitaran sekolah lebih selamat dengan penglibatan bersama ibu bapa. 

Titah berkenaan dizahirkan susulan kejadian rogol di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini dan Seri Paduka Baginda memandang serius kejadian ini. 

“Kementerian Pendidikan boleh melihat kepada keberkesanan modul di bawah kempen TinDak dalam usaha mewujudkan persekitaraan sekolah lebih selamat serta penglibatan secara bersama ibu bapa.

“Saya juga akan membantu dalam perkara ini selain menitahkan Universiti Teknologi Malaysia menjalankan satu kajian mengenai pengaruh media sosial ke atas murid dan pelajar,” titah Raja Zarith Sofiah menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, hari ini.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Istana Negara yang berlangsung hampir dua jam di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum) Dr Rusmini Ku Ahmad dan Pengarah Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.

Raja Zarith Sofiah turut berkenan mengimbau pelancaran kempen TinDak di bawah kelolaan Johor Women’s League (JEWEL) pada Mei 2017 yang memfokuskan kepada usaha perlindungan kanak-kanak daripada penganiayaan serta gangguan seksual.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda bertitah agar sekolah sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, termasuk penggunaan Internet dan media sosial dalam kalangan murid dan pelajar, selain menilai semula pendekatan sedia ada supaya seiring dengan perubahan zaman.

Dalam pertemuan itu, Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan pelbagai pandangan, antaranya mengenai pendidikan disiplin, peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengaruh media sosial terhadap murid dan pelajar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan