WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebih 180 Projek Teknologi Tempatan Dapat Sokongan NTIS - Chang

14/10/2025 05:28 PM

BACHOK, 14 Okt (Bernama) -- Lebih 180 projek teknologi tempatan mendapat sokongan di bawah Program Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS) merangkumi pelbagai bidang termasuk dron, kesihatan digital dan pertanian pintar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata NTIS membolehkan inovasi tempatan diuji dan dikomersialkan dengan sokongan kewangan, fasilitasi regulatori dan bimbingan teknikal.

Beliau berkata kementeriannya menyokong sepenuhnya usaha berkenaan melalui pelbagai inisiatif yang menjadi jambatan menghubungkan antara penyelidikan di makmal dengan pasaran sebenar.

"Pendekatan ini menjadi teras kepada Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) bagi membawa Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi menjelang 2030," katanya pada Majlis Perasmian Penutup Festival Idea 2025 Peringkat Negeri Kelantan (FOI @ Kelantan) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini hari ini.

Chang berkata pihaknya juga komited melahirkan generasi bakat masa depan melalui pelbagai program pembangunan modal insan. 

"Antara fokus utama ialah penganjuran Malaysia Techlympics dan Minggu Sains Negara yang berlangsung sepanjang tahun bertujuan memupuk minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Kita ingin memastikan bahawa setiap pelajar, sama ada dari bandar mahu pun luar bandar mempunyai peluang yang sama untuk menyumbang kepada pembangunan negara melalui sains dan teknologi, inilah semangat keterangkuman dan kesejahteraan yang menjadi tunjang Malaysia MADANI," katanya.

Beliau berkata dalam dunia yang semakin berasaskan data, inovasi dan daya cipta, Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan tradisional, namun perlu bergerak ke arah knowledge-driven society yang menjadikan sains, teknologi dan inovasi sebagai nadi kemajuan sosioekonomi.

Mengenai Festival FOI@Kelantan, Chang berkata penganjuran berkenaan amat bermakna kerana ia menjadi wadah antara peserta untuk berkongsi idea, mencipta penyelesaian inovatif dan menonjolkan daya cipta anak tempatan.

"Program seperti ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem inovasi negara dengan membuktikan keupayaan universiti menterjemah ilmu kepada impak sebenar terhadap masyarakat, ekonomi dan pembangunan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan