KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2025 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dijangka menjana potensi perniagaan bernilai RM5.5 bilion dan menarik 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
IGEM 2025 yang dianjurkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) melibatkan 500 gerai pameran yang mewakili 50 negara.
Dalam kenyataan hari ini, NRES memaklumkan IGEM 2025 bukan sekadar pameran tetapi pasaran lokasi idea menjadi pelaburan dan perkongsian.
“Menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), pengumuman kerjasama baharu dan penganjuran platform seperti Forum Pasaran Karbon Malaysia, IGEM menunjukkan keupayaan untuk menukar aspirasi kepada peluang sebenar yang memperkukuh ekonomi hijau ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii yang merasmikan hari pembukaan itu, menekankan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan kepentingan menjadikan keterangkuman dan kemampanan sebagai kemajuan bersama.
“IGEM mencerminkan visi ini dengan menghimpunkan pemimpin serantau, inovator dan komuniti untuk bekerjasama mencari penyelesaian praktikal bagi peralihan iklim. Ia membuktikan kerjasama adalah asas kepada masa depan ASEAN yang adil dan berdaya tahan,” katanya.
NRES memaklumkan, dalam dua hari akan datang IGEM 2025 akan menampilkan beberapa program utama yang menonjolkan kepimpinan ASEAN dalam tindakan iklim dan inovasi hijau termasuk Forum Ekonomi Kitaran ASEAN (ACEF), Forum Kecekapan Tenaga Ketiga, Minggu Alam Sekitar Malaysia-Jepun, Forum Pasaran Karbon Malaysia Ketiga dan Seminar Ozone to Climate.
“Sesi pemadanan perniagaan dianjurkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan diteruskan sepanjang IGEM 2025 bagi merancakkan peluang pelaburan dan menggalakkan kerjasama rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.
Antara 500 pempamer mengambil bahagian tahun ini merupakan nama terkemuka dalam tenaga hijau seperti Petronas yang mempamerkan teknologi tenaga hidrogen dan penangkapan karbon; Tenaga Nasional Bhd (TNB) teknologi solar berskala besar dan grid inovatif; OCBC Bank mempromosikan penyelesaian pembiayaan hijau serta Xiamen Solar First Energy Technology yang membawa pelbagai tawaran dan perkhidmatan.
“IGEM 2025 telah membuka tirai untuk minggu yang penuh berimpak dalam inovasi hijau dan kerjasama perniagaan. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memperkukuh peranan dalam memacu peralihan sifar bersih di rantau ini, dengan memastikan keterangkuman dan kemampanan kekal menjadi teras kepada pertumbuhan,” kata NRES.
Mereka berminat boleh mendaftar secara percuma menerusi https://register.igem.my atau layari www.igem.my maklumat atau perkembangan acara tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial