WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2026: Sekolah Baharu Buktikan Kesungguhan Kerajaan Tangani Kepadatan Murid

14/10/2025 01:12 PM

SHAH ALAM, 14 Okt (Bernama) -- Pengumuman pembinaan 38 buah sekolah baharu, termasuk sembilan di Selangor, melalui Belanjawan 2026 mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan akses pendidikan berkualiti sejajar pertumbuhan pesat penduduk.

Penduduk di kawasan berkembang seperti Puncak Alam dan Setia Alam menyifatkan pengumuman itu sebagai titik perubahan yang amat dinanti, selepas bertahun-tahun berdepan isu kepadatan murid hingga terpaksa menghantar anak ke sekolah jauh dari kawasan kediaman.

Pekerja swasta Muhammad Aminuralif Mohd Zoki, 35, berkata kebanyakan sekolah sedia ada tidak lagi mampu menampung peningkatan bilangan pelajar setiap tahun dan situasi berlarutan boleh menjejaskan emosi serta motivasi mereka.

“Saya percaya pembinaan sekolah baharu mampu mengimbangi keperluan pendidikan dan mengurangkan tekanan kepada infrastruktur sedia ada, sejajar dengan pertambahan populasi di Puncak Alam, Setia Alam dan Bandar Baru Kuala Selangor,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 Jumaat lepas mengumumkan peruntukan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan pada tahun depan, termasuk kos menaik taraf serta membina 38 sekolah baharu bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Penduduk Setia Alam Fazlisham Aziq, 40, pula menyifatkan pengumuman itu satu kelegaan bagi ibu bapa yang terpaksa menghantar anak ke sekolah di luar kawasan.

Pemilik bengkel itu berkata selain kos pengangkutan dan bahan api, ibu bapa bimbang mengenai keselamatan anak-anak kerana mereka terdedah kepada pelbagai risiko dalam perjalanan pergi dan pulang dari sekolah.

“Saya percaya pengumuman kerajaan membina sekolah baharu di sini sangat bertepatan dengan keperluan semasa. Anak-anak juga pasti tidak selesa berada dalam kelas yang mempunyai lebih 40 pelajar,” kata bapa seorang anak  itu.

Sembilan sekolah baharu yang akan dibina di Selangor ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Eco Grandeur, SMK Setia Alam (2), SMK Kota Kemuning (2),  SMK Cyberjaya (2) dan SMK Bukit Puchong serta Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Suria, SK Puchong Permai, SK Taman Desa (3) dan SK Pendidikan Khas Kota Damansara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan