WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Legenda Bola Sepak Kedah Hussin Jaafar Meninggal Dunia

11/10/2025 08:56 PM

ALOR SETAR, 11 Okt (Bernama) -- Legenda bola sepak Kedah era 80-an dan awal 90-an, Hussin Jaafar, 60, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, semalam.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Radhi Mat Din berkata jenazah Allahyarham telah dibawa ke kediamannya di Taman Aman, Anak Bukit di sini sebelum disolatkan di Masjid Tunku Intan Safinaz selepas solat zuhur.

“Buat generasi baharu, Allahyarham adalah penyerang legenda bola sepak Kedah pada era 90-an. Bersama pasukan Kedah, Allahyarham berjaya membantu skuad Hijau Kuning mara ke pentas akhir Piala Malaysia empat tahun berturut-turut bermula 1987 dan muncul juara pada 1990 selepas menewaskan Singapura 3-1,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Muhammad Radhi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah berkata Hussin telah menjaringkan gol pertama yang membawa pasukan Kedah menjuarai Piala Malaysia pada 1990.

“Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham bersama para solihin dan salam takziah buat keluarga Allahyarham,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan